Modul " Pecutan Sendiri Melompat Tinggi, Menjangkau Kecemerlangan "

Bahasa Melayu

Sepatah Dua Kata

        Modul ini ditulis khas untuk membantu para pelajar Tahun Enam membuat ulang kaji cepat secara efektif bagi menghadapi peperiksaan UPSR. Modul ini dibina mengikut perincian rapi mencakupi semua aspek penilaian UPSR. Diharap adik-adik  pelajar yang dikasihi sekalian dapat memanfaatkan modul penulisan ini. Diharap adik-adik akan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam memahami kehendak-kehendak soalan dan bijak pula menjawab secara tepat dan cepat.

        Objektif dan matlamat modul ini ialah untuk membiasakan adik-adik dengan corak soalan peperiksaan UPSR sebenar. Modul ini juga bertujuan melengkapkan dan memperkukuhkan tahap penguasaan adik-adik dengan soalan-soalan mencabar di samping sebagai buku kerja sekolah. Panduan menjawab soalan pula merupakan bimbingan kepada adik-adik tentang strategi yang betul ketika menjawab soalan.

        Harus ditekankan di sini bahawa janganlah sekali-kali dianggapkan naskah ini sebagai satu bahan tukar ganti untuk sebarang buku teks sekolah. Kejayaan dalam peperiksaan hanyalah akan dapat dicapai melalui satu pembelajaran bersistematik dan mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai sesuatu mata pelajaran. Bagaimana pun kedua-duanya bukan merupakan faktor asas. Jadi di sinilah letaknya kepentingan modul ini . Dengan mencuba semua ujian yang tertera dengan penuh teliti, peluang adik-adik mencapai kejayaan dalam UPSR sudah pasti semakin membesar.

        Mudah-mudahan dengan dengan usaha dan kesungguhan adik-adik yang dikasihi sekalian , modul ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya agar matlamat sebenar adik-adik, guru-guru dan ibu bapa , membuahkan hasil seperti yang diharap-harapkan. Insya-Allah.

        Selepas ini kamu akan banyak didedahkan kaedah menulis / mencari isi berpandukan carta aliran. Kamu boleh menyusunnya semula mengikut isi yang lebih penting atau menambah lagi isi kurang. Sebenarnya terdapat banyak kaedah dalam mencari fakta atau isi. Carta aliran ini sebenarnya sebagai panduan kepada kamu semata-mata. Kamu digalakkan mencari sendiri isi karangan , kerana itu adalah lebih baik.

        Sekalung budi dan ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung diatas sokongan dan kerjasama yang diberikan bagi menjayakan modul penulisan UPSR ini.
 

Selamat Maju Jaya
 

Penulis,
Norhashimi Jusoh

jerteh127@hotmail.com