Make your own free website on Tripod.com

Langkah-langkah Bijak Menjelang Peperiksaan

Persediaan menjelang peperiksaan lebih merupakan persediaan minda. Kaedah pembelajaran bukan lagi menjadi persoalan utama. Pelajar yang telah lama bersedia adalah pelajar yang beruntung manakala pelajar yang lalai hingga ke saat akhir adalah pelajar yang merugi.

Persediaan mental menjelang peperiksaan juga amat penting kerana turut mempengaruhi prestasi semasa peperiksaan. Persediaan mental ini tetap merupakan perjuangan para pelajar ke arah mengejar kejayaan cemerlang.

Pelbagai petua dan panduan perlu dipatuhi oleh pelajar untuk mencapai ke arah kejayaan ini.

1.Bertenang dan lapangkan fikiran, elakkan tekanan perasaan.

   2.Membuat ulang-kaji bagi topik-topik yang difikirkan penting.

   3.Tidur yang mencukupi. Ini bertujuan untuk memelihara tenaga yang secukupnya semasa hari peperiksaan.

   4.Menjaga kesihatan diri supaya dapat mengelakkan daripada demam atau kemalangan. Badan yang tidak sihat
     akan menyebabkan otak kurang cekap.

   5.Menjaga pemakanan dengan memakan makanan yang berkhasiat dan berzat. Hindari makanan yang boleh
     melemahkan tenaga dan melembapkan minda.

   6.Bangun tidur awal pada setiap pagi.

   7.Bagi pelajar Islam, perbanyakan sembahyang hajat.

   8.Membaca nota-nota ringkas yang telah disediakan.

   9.Mengadakan senaman kesihatan fizikal untuk mengeluarkan peluh.

  10.Beriadah dan berekreasi di tempat-tempat yang sesuai. Udara yang bersih dan badan yang cergas akan menenangkan minda dan melapangkan fikiran.

  11.Hindari sebarang masalah dengan sebarang pihak sama ada rakan, keluarga atau lebih-lebih lagi guru. Jangan
     bergaduh dengan rakan-rakan, atau bermusuhan dengan guru. Jangan menderhaka dengan ibu bapa dan jangan
     kurang ajar dengan guru.

  12.Meminta doa dan restu ibu, bapa dan guru-guru.

  13.Belajar pada waktu yang difikirkan sesuai.

  14.Mengkaji bentuk-bentuk soalan peperiksaan dengan bantuan guru dan rakan-rakan.

  15.Menjawab soalan yang sama seperti format peperiksaan sebenar.

  16.Datang lebih awal ke dewan peperiksaan sebelum peperiksaan bermula. Ini membolehkan pelajar-pelajar
     sempat bertemu dan berbincang dengan rakan-rakan. Ini akan dapat mengurangkan ketegangan.

  17.Menyediakan segala kelengkapan peperiksaan yang diperlukan sebelum menjelang hari peperiksaan.

  18.Bersarapan sebelum masuk ke dewan peperiksaan dengan sarapan yang berzat supaya tenaga fizikal dan minda cukup untuk menghadapi peperiksaan.

  19.Datang ke tempat peperiksaan dengan kenderaan yang lebih selamat dan cepat. Jangan datang lewat. Ini hanya akan meresahkan pelajar dan menggugat kelancangan pemikiran pelajar.

  20.Elakkan mengadakan perbincangan tentang topik-topik hangat atau kaedah menjawab sebelum dan selepas
     peperiksaan.

  21.Meminta ibu bapa atau ahli keluarga yang terdekat menghantar pelajar ke tempat peperiksaan. Sokongan
     moral sebegini amatlah penting.

  22.Mematuhi arahan peperiksaan yang telah ditetapkan.

  23.Membaca setiap arahan yang terdapat pada setiap kertas soalan.

  24.Menjawab soalan berpandukan soalan yang telah dipilih.

  25.Meminta sesuatu keperluan peperiksaan daripada pengawas yang bertugas.

  26.Jangan bercinta dengan kekasih atau buah hati menjelang peperiksaan. Ini akan melencungkan tenaga pemikiran dan tumpuan pelajar daripada matlamat asal iaitu untuk mencapai tahap kecemerlangan dalam peperiksaan. Lebih malang lagi sekiranya pelajar 'putus cinta' menjelang peperiksaan!

  27.Memulakan peperiksaan dengan membaca Bismillah.

  28.Menjawab soalan yang pelajar fikirkan mudah dan betul terlebih dahulu, jangan mengambil masa yang lama untuk satu-satu soalan yang sukar dijawab.

  29.Pastikan pelajar menjawab semua soalan yang dikemukakan mengikut arahan yang dinyatakan.

  30.Berserah kepada Allah dan yakin bahawa anda akan beroleh kejayaan selepas bekerja keras.

12 Kemahiran Untuk Pelajar

Ramai pelajar mengeluh kerana terlalu banyak masa yang dihabiskan untuk mengulang kaji tetapi pulangannya tidak seberapa. Sebaliknya terdapat segolongan kecil pelajar, belajar dalam keadaan yang lebih selesa, tidak terkocoh tetapi dapat pula meluangkan masa untuk beriadah dan turut melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Walaupun begitu, mutu dan pencapaian akademik mereka tidak terjejas.

Persoalannya, mengapakah dua keadaan di atas boleh terjadi? Biasanya, jawapan yang diberikan ialah pelajar dalam kumpulan kedua didakwa mempunyai keupayaan mengingat yang lebih jika dibandingkan dengan para pelajar daripada kumpulan pertama. Hipotesis ini mungkin betul, tetapi yang lebih tepat ialah ramai pelajar tidak mempunyai teknik belajar yang berkesan. Mereka belajar hanya mengikut rasa dan resa sahaja. Akibatnya, masa dan tenaga banyak terbuang, tetapi hasilnya tidak seperti mana yang disarankan oleh Gwen Gawith di dalam bukunya Power Learning.

Pelajar dan Pemelajaran

Setiap pelajar mestilah mengetahui akan tujuan dia belajar. Adakah dia belajar untuk mendapatkan ilmu dan kecemerlangan atau belajar kerana mengikut rakan-rakan sahaja dan dipaksa oleh ibu bapa ? Oleh itu, para pelajar mestilah menanamkan tekad bahawa tujuannya belajar adalah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan mencapai kecemerlangan dalam semua bidang sama ada yang berkaitan dengan rohani atau jasmani. Setelah yakin bahawa anda ingin belajar, maka ketahuilah pula apakah tugas dan tanggungjawab anda sebagai seorang pelajar.

Pengurusan Diri

Sebagai seorang pelajar, anda mestilah boleh menyesuaikan diri dengan alam persekolahan dan persekitaran pemelajaran yang stabil. Jadikanlah sekolah tempat yang menyeronokkan untuk menimba ilmu pengetahuan. Di simpang itu, pandai-pandailah membawa diri bersama rakan dan taulan serta tidaklah pula menjadikan guru sebagai musuh. Ingatlah, guru adalah ibu bapa kedua kita. Tiada guru yang ingin merosakkan pelajarnya. Apa yang penting. Pelajar mestilah pandai membawa diri dengan sifatnya sebagai seorang pelajar.

Mengurus Masa

Untuk menjadi pelajar yang berjaya, anda mesti berupaya menjadualkan masa untuk belajar, beriadah, bergiat dalam kegiatan kokurikulum, menonton televisyen dan sebagainya. Di samping itu, pelajar mestilah berkebolehan mengingati sesuatu dalam jangka masa yang lebih panjang.

Perancangan

Kemahiran merancang semua aspek hidup amat penting, misalnya pelajar mestilah tahu apa yang telah dan akan dilakukan. Oleh itu, pelajar mestilah mempunyai arah dan tujuan yang positif. Janganlah hendaknya hidup hanya mengikut arus sahaja.

Kemahiran Berfikir

Untuk menjadi pelajar yang berjaya, pelajar mesti keupayaan berfikir secara kritis dan positif. Kemahiran berfikir ini harus dipelajari dan dipraktikkan. Di samping itu, pelajar juga mestilah berfikiran matang dan tidak hanya mengikut logik semata-mata.

Kemahiran Belajar

Belajar bukanlah sesuatu yang mudah tetapi bukanlah sesuatu yang sukar. Untuk menjadikan belajar itu mudah, para pelajar mestilah menguasai kemahiran belajar yang sistematik.

Kemahiran Membaca

Boleh dikatakan semua pelajar boleh membaca tetapi tidak ramai yang boleh membaca dengan pantas, dan dalam masa yang sama dapat memahami dan mengingati apa yang dibaca. Oleh itu, para pelajar mestilah menguasai kemahiran membaca dengan sebaik mungkin.

Kemahiran Menyelidik

Kemahiran merancang semua aspek hidup amat penting, misalnya pelajar mestilah tahu apa yang telah dan akan dilakukan. Oleh itu, pelajar mestilah mempunyai arah dan tujuan yang positif. Janganlah hendaknya hidup hanya mengikut arus sahaja.

Kemahiran Berfikir

Bagi memahami dan mendalami ilmu pengetahuan, setiap pelajar mesti mahir merujuk dan menyelidik sama ada daripada buku buku, akhbar, majalah, membuat temu ramah, dan sebagainya.

Kemahiran Membuat Nota

Terdapat pelbagai cara dan kaedah membuat nota, tetapi yang penting, nota yang anda buat mestilah memudahkan anda memahaminya. Jika kita hanya membaca atau menyelidik tanpa mencatatnya di dalam buku nota, kesannya tidak akan sampai ke mana dan tidak bertahan lama.

Kemahiran Menyampaikan

Setelah anda membaca, berfikir, belajar dan membuat nota, seharusnya anda mahir pula menyampaikan kembali apa yang anda fahami dengan berkesan sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan.

Teknik Peperiksaan

Setiap pelajar akan dinilai melalui peperiksaan. Oleh itu, pelajar mesti berkebolehan menguasai teknik-teknik peperiksaan seperti keupayaan menganalisis soalan, mengetahui takrif soalan dan menjawab soalan.

Kemahiran Menilai

Pelajar mesti berupaya menilai kelemahan dan kekuatan diri sendiri di samping sentiasa berusaha memperbaiki segala kelemahan diri. Jangan sesekali menyalahkan orang lain jika kita gagal. Adalah lebih baik kita menyalahkan diri sendiri dan melihat kelemahan-kelemahan diri dan seterusnya bertekad untuk berjaya.

Kesimpulannnya, jika para pelajar dapat menguasai kesemua kemahiran di atas dengan berkesan dan bersistematik, sudah pasti kejayaan memihak kepada anda. Walau bagaimanapun, dalam keadaan apa sekalipun, kita mestilah sentiasa bersyukur dan bertakwa agar Allah S.W.T akan memberkati segala usaha kita.