SEJARAH RINGKAS

Sekolah Kebangsaan Darau ditubuhkan pada 24 Oktober 1948 dengan menggunakan nama SEKOLAH MELAYU DARAU. Ia diasaskan oleh Haji Jusoh bin Senik dan Encik Awang Ngah bin Molor.Tapak asal bangunan sekolah terletak di hadapan Masjid Kampung Darau sekarang.
Luas bangunan asal hanyalah berukuran 40 kaki X 20 kaki yang berdindingkan kayu dan beratapkan rumbia. Ia dibangunkan secara gotong-royong oleh penduduk setempat dengan usaha Ketua Kampung iaitu Encik Wan Sulaiman bin Ibrahim.

Pentadbiran sekolah ini dikendalikan oleh penduduk kampung dengan bantuan dan kerjasama Ketua Kampung serta Penghulu Mukim Hulu Besut ketika itu iaitu Tuan Haji Mat Diah bin Yaakub.
Sesi persekolahan yang pertama bermula pada 28 Oktober 1948 dengan keramaian murid berjumlah 47 orang. Hanya seorang tenaga pengajar waktu itu iaitu Encik Mohd. Yasin bin Salleh, yang juga adalah Guru Besar pertama sekolah ini.

Dalam tahun 1954, sekolah ini ditutup buat sementara waktu. Namun, pada 3 Februari 1957, sekolah ini dibuka semula dan ditadbir oleh Kementerian Pelajaran. Bangunan asalnya telah disambung sepanjang 20 kaki lagi bagi keselesaan para pelajarnya yang kian bertambah.
Dengan jasa baik Menteri Besar Terengganu pada masa itu iaitu Y.A.B. Dato' Ibrahim Fikri, sekolah ini mendapat sebuah lagi bangunan yang dibina di sebuah kawasan baru, iaitu di tapak sebagaimana sekarang. Ia dibuka secara rasmi oleh Menteri Besar Terengganu sendiri pada 13 Mac 1964.

Sejajar dengan pertambahan jumlah pelajar, sebuah lagi bangunan tambahan dua tingkat telah dibina oleh Kementerian Pelajaran dan dirasmikan oleh Y.B. Datuk Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (Menteri Pelajaran waktu itu) pada2 November 1985. Bilangan pelajar ketika ialah 399 orang dengan 18 orang tenaga pengajar.
Kini, setelah 50 tahun berlalu, Sekolah Kebangsaan Darau terus berubah dengan mendapat sebuah lagi bangunan tambahan dua tingkat. Bangunan baru ini hampir siap dan dijangkakan dapat diduduki pada pertengahan tahun 1999.

PERISTIWA BERSEJARAH

2 November 1985

Perasmian Bangunan Tambahan SKD oleh Y.B. Datuk Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (Menteri Pelajaran Malaysia)

15 & 16 November 1998

Sambutan Jubli Emas sempena 50 tahun usia Sekolah Kebangsaan Darau